LAPORAN PROJEK PENGURUSAN

1. PROJEK PELUPUSAN SISA KIMIA MAKMAL

Nama Projek
Membina sebuah tangki konkrit bawah tanah di depan makmal  untuk  pelupusan sisa makmal

Matlamat Projek
i   melupuskan sisa kimia/biologi makmal sekolah secara selamat melalui peraturan yang
    ditetapkan.                          
ii  mendidik warga sekolah terutamanya guru dan pembantu makmal tentang kepentingan
    pelupusan sisa makmal terhadap kesihatan dan alam sekitar.

Keterangan Projek
i.    Pembinaan dua buah tangki konkrit bawah tanah di hadapan Makmal Biologi dan Makmal Sains 1.
ii.   Tangki tersebut akan digunakan sebagai tangki satelit pengumpulan semua sisa kimia makmal yang tidak meruap khususnya daripada bilik persediaan Makmal Kimia dan Makmal Sains.
iii.  Selepas mencapai had simpanan, semua sisa akan disimenkan dan ditanam di dalam  tanah.

Proses
i.    Lubang dengan kedalaman 3 kaki dan luas 4 kaki persegi dikorek untuk tujuan pembinaan tangki.
ii.   Lubang tersebut kemudian disimenkan.
iii.  Arang, batu kelikir dan pasir dimasukkan secara berselang seli dengan nisbah bagi batu kelikir, pasir dan arang ialah 3:2:1. Lapisan pasir akan berada di lapisan yang paling atas. Tujuannya adalah untuk menapis dan memperlahankan penyerapan bahan kimia ke bahagian bawah tangki.
iv.  Seterusnya saluran limpahan dibina menghubungkan tangki konkrit dan saluran perparitan supaya bahan kimia dan lapisan pasir tidak melimpah keluar jika hari hujan.
v.   Selepas 1 atau 2 tahun, tangki ini akan dikorek dan sisa kimia akan disimenkan dan ditanam di dalam tanah.

Faedah Projek
i.    Projek ini dapat membantu pihak sekolah menguruskan sisa makmal secara teratur dan mengikut peraturan pelupusan yang disediakan oleh Jabatan Kimia
ii.   Pihak sekolah juga dapat mengenalpasti semua bahan kimia yang telah luput dan melaksanakan pelupusan bahan-bahan kimia tersebut.

Tempoh Pelaksanaan
Projek ini dilaksanakan secara kekal dan berterusan.

Gambar Aktiviti



2. PROJEK KEAHLIAN RAKAN ALAM SEKITAR

Nama Projek
Promosi Rakan Alam Sekitar

Matlamat Projek  
i     Memberikan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.
ii    Menanamkan rasa tanggungjawab dalam warga sekolah SMK Jelutong untuk bertindak  
      dan mengambil bahagian dalam  menjaga alam sekitar.
iii   Menyediakan saluran yang tepat bagi warga sekolah membuat aduan atau pandangan  
      mengenai alam sekitar kepada agensi kerajaan.
iv   Menggalakkan semua warga sekolah menjadi ahli Rakan Alam Sekitar dengan cara 
      mengisi borang atau secara on-line.

Faedah
Memberikan kesedaran serta menanamkan rasa tanggungjawab dalam diri setiap individu tentang keperluan menjaga alam sekitar agar kehidupan yang sihat dapat dinikmati oleh semua warga sekolah. Di samping itu, setiap ahli akan mendapat kad keahlian Rakan Alam Sekitar.

Pelaksana:                  Cik Vasanthi P.Karuppiah

Kumpulan Sasaran:    Semua warga SMK Jelutong

Tempoh Pelaksanaan:   Jun 2011 hingga Mac  2012

Pencapaian
Setelah promosi dibuat semasa perhimpunan pagi, borang keahlian telah diedarkan kepada warga sekolah yang berminat.  Seramai  30 orang guru dan  95 orang murid telah mengisi borang keahlian.  Setelah tamat tempoh yang diberi, borang keahlian akan dihantar untuk diproses kepada Urusetia Rakan Alam Sekitar (RAS).  Beberapa orang guru telah membuat pilihan untuk memohon secara on-line.

Kekangan
Masih ada segelintir murid dan guru yang tidak menunjukkan  minat untuk menjadi ahli walaupun promosi telah dibuat  tentang kebaikan menjadi ahli Rakan Alam Sekitar.

Tindakan Selanjutnya   
Promosi akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mengalakkan lebih ramai guru dan murid menjadi ahli Rakan   Alam Sekitar. Caranya ialah dengan menyedarkan mereka tentang kebaikan menyertai Rakan Alam Sekitar. Guru dan murid yang baru masuk akan digalakkan
menyertai Rakan Alam Sekitar. Hasrat Komponen Pengurusan adalah untuk menggalakkan semua warga SMK Jelutong menjadi ahli Rakan Alam Sekitar menjelang bulan Mac tahun 2012.

3 . PROJEK KELAS LESTARI
Pengenalan
Kelas lestari adalah bersesuaian dengan konsep Program Sekolah Lestari pada peringkat sekolah untuk menjadikan Sekolah Menengah Kebangsaan Jelutong menuju ke arah menjadi sebuah sekolah dalam taman yang bermaklumat dengan pembentukan pelbagai stesen yang dipenuhi dengan sumber yang bermaklumat di samping mewujudkan persekitaran yang indah, nyaman dan segar. Konsep ini juga adalah selaras dengan tujuan Anugerah alam sekitar yang bertujuan untuk membentuk persekitaran sekolah yang menitik beratkan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar dalam aspek pengurusan, kurikulum, kokurikulum dan penghijauan.
MatlamatMatlamat utama pihak sekolah dalam mewujudkan Kelas Lestari adalah berorientasikan persekitaran sekolah yang bermaklumat, selamat, bersih dan indah. Selaras dengan falsafah dan matlamat pendidikan negara yang mahu melahirkan pelajar yang berketrampilan, persekitaran yang bermaklumat dan ceria menjadi pencetus dan pengerak minda serta sikap yang peka kepada keselamatan dan kepentingan alam sekitar dalam kehidupan manusia. Objektif menyediakan persekitaraan yang bermaklumat serta sesuai adalah untuk mewujudkan aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang lebih menarik, dan menjadikan sekolah kawasan yang indah dengan pembangunan landskap berkesan dan berkualiti, di samping meningkatkan kesedaran serta tanggungjawab memelihara alam sekitar kepada warga sekolah serta mengekalkan tahap kesihatan yang baik dan sempurna.
Faedah
Antara faedah mewujudkan Kelas Lestari adalah dapat menyediakan situasi pembelajaran yang segar dan nyaman serta selesa kepada para pelajar. Dengan penyediaan kelas yang selesa ini, para pelajar bukan sahaja dapat belajar dalam kelas yang selamat, tetapi juga dapat belajar dalam kelas yang sentiasa segar. Selain ini, para pelajar juga akan menyedari kepentingan alam hijau kepada manusia.
Pihak yang terlibat dalam Projek Kelas Lestari
Pihak yang terlibat secara langsung dalam projek Kelas Lestari ini secara umumnya ialah warga SMK Jelutong yang terdiri daripada guru dan para pelajar SMK Jelutong. Pada peringkat permulaan, Tingkatan 4 Sains telah dipilih sebagai kelas yang terlibat dalam Projek Kelas Lestari ini. Maka, setiap pelajar dalam Tingkatan 4 Sains di bawah bimbingan guru tingkatan terlibat dalam projek ini. 
Status Kemajuan Perlaksanaan Projek Kelas Lestari
Untuk peringkat permulaan, perlaksanaan Projek Kelas Lestari ini dimulakan dengan memilih suatu sudut di dalam Kelas 4 Sains untuk dijadikan sebagai Sudut Lestari, termasuklah 3 bahagian kecil sudut papan notis di belakang kelas. Para pelajar mula menghiaskan sudut papan notis berkenaan dengan tema yang bersesuai dengan Lestari alam sekitar. Antaranya, papan notis telah dihiasi dengan poster yang berkaitan dengan ‘Cintailah Alam Sekitar’ bagi tujuan memberi kesedaran kepada semua pelajar tentang kepentingan menjaga alam sekitar. Selain itu, sebahagian papan notis notis turut dihiasi dengan unsur-unsur berdasarkan alam sekitar, misalnya dengan ranting-ranting pokok dan daun-daun kering.
Kekangan yang dihadapi
Antara kekangan utama yang dihadapi ialah masalah sumber kewangan. Para pelajar bercadang untuk meletakkan beberapa pasu pokok bunga yang agak sederhana saiznya di dalam sudut lestari dalam kelas. Namun, akibat kekangan kewangan, cadangan ini terpaksa ditundakan.
Tindakan Selanjutnya
Untuk peringkat seterusnya, Sudut Lestari dalam kelas akan ditambahkan lagi dengan unsur-unsur lestari alam sekitar. Papan notis akan dibahagikan dengan jelas
kepada 3 bahagian, iaitu bahagian ‘Bumi Yang Telah Sakit’, ‘Kesedaran Manusia Sejagat dan Pemuliharaan Bumi’, dan bahagian ketiga ‘Bumi Lestari’. Selain itu,
sekiranya peruntukkan kewangan telah diterima, pasu bunga pokok yang sederhana saiznya akan diusahakan untuk ditempatkan dalam Sudut Lestari di dalam Kelas.

 Sudut Lestari Tingkatan 4 Sains